Selasa, 26 Disember 2017

Lawatan Kerja Masjid Model Teladan

   Tanggal 18hb Disember sehingga 20hb Disember 2017, Lembaga Masjid Negeri Sembilan telah mengadakan lawatan kerja ke masjid-masjid terpilih. Masjid-Masjid yang terpilih ini dipilih dari sudut kecemerlangan yang merangkumi majoriti aspek-aspek pengurusan dan hal ehwal masjid. Oleh kerana itu, pihak Lembaga Masjid Negeri Sembilan mensasarkan masjid yang pernah meraih kejohanan dalam Anugerah Masjid Malaysia 2014. Masjid yang terpilih tersebut adalah :
  1. Masjid As Salam, Puchong Perdana, Selangor
  2. Masjid Sultan Yahya Petra, Machang, Kelantan
   Faktor pemilihan dua buah masjid ini adalah memastikan para eksekutif masjid dapat mengambil pengalaman-pengalaman berguna daripada pegawai dan jawatankuasa masjid yang telah berjaya membuat anjakan paradigma untuk masjid mereka sehingga dinobatkan sebagai masjid terbaik di Malaysia peringkat daerah dan kariah. Semoga dengan berkat lawatan kerja ini, masjid-masjid yang terbangun di Negeri Sembilan ini dapat meneladani aspek-aspek cemerlang dua buah masjid di atas justeru mempengaruhi lebih ramai masyarakat khususnya peringkat belia untuk mengimarahkan masjid. Sesungguhnya pihak belia ini lah yang menjadi tunggak kejayaan sesebuah negara kerana kekuatan dan pemikiran yang segar ini mampu membawa perubahan negara ke arah lebih cerah.






























Rabu, 6 Disember 2017

Isu Tawassul Isu Evergreen?

ISU TAWASSUL ISU EVERGREEN?

Oleh : Ust Mohd Khafidz bin Soroni
            Pensyarah Jabatan al-Quran dan as-Sunnah, Kolej Universiti Islam Antarabangsa  Selangor

   Isu tawassul merupakan isu yang telah lama diselesaikan oleh para ulama'. Bagaimanapun, disebabkan kekeliruan terus berlaku dalam kalangan masyarakat kerana sering dimomokkan oleh pihak tertentu, maka ia terus diperkatakan. Oleh kerana amalan tawassul ini terus dipersoalkan, maka isu ini juga perlu terus diperjelaskan.

   Ayat al-Quran yang menyeru agar kita bertawassul ialah firman Allah SWT yang bermaksud: 

"Wahai orang-orang yang beriman, bertaqwalah kepada Allah dan carilah wasilah yang boleh menyampaikan kepadaNya dan berjuanglah pada jalan Allah (untuk menegakkan Islam) supaya kamu beroleh kejayaan."

(al-Maidah : 35)

   Kalimah al-Wasilah tersebut menurut kebanyakan ulama' tafsir ialah amalan-amalan yang soleh dan lain-lain. Prof Dr Sayyid Muhammad bin 'Alawi al-Maliki dalam karangan beliau yang masyhur Mafahim Yajibu An Tusahhah (hlm. 45) menyatakan:

 "Allah Ta'ala berfirman yang bermaksud : "Wahai orang-orang yang beriman, bertaqwalah kepada Allah dan carilah wasilah untuk menuju kepadaNya..." (al-Maidah : 35). Al-Wasilah ialah setiap apa yang dijadikan Allah sebagai sebab untuk mendekatkan diri seseorang kepadaNya dan penyampai kepada ditunaikan segala hajat olehNya. Maka, yang jadi perkara utama dalam bertawassul ialah sesuatu atau seseorang yang dijadikan wasilah itu hendaklah mempunyai kedudukan dan kehormatan di sisi Allah SWT. Lafaz al-Wasilah dalam ayat tadi adalah bersifat umum, ianya mencakupi bertawassul dengan peribadi-peribadi yang mempunyai keutamaan daripada kalangan para nabi dan orang-orang soleh, sama ada sewaktu mereka hidup dan selepas kewafatan mereka. Dan juga mencakupi bertawassul dengan amalan-amalan yang soleh menurut jalan yang diperintahkan dan boleh bertawassul dengannya walaupun setelah ianya dilakukan."

   Antara dalil jelas bahawa al-wasilah bukan sahaja terbatas kepada amal-amal yang soleh, bahkan merangkumi hamba-hamba Allah yang terpilih dan soleh ialah kata-kata Sayyiduna al-'Abbas r.a. :

اللهم إنّا كنّا نتوسّل إليك بنبيّنا فتسقينا وإنّا نتوسّل إليك بعمّ نبيّنا فاسقنا
(أخرجه البخاري في صحيحه) 

"Ya Allah, kami dahulu bertawassul kepadaMu dengan Nabi kami, lalu Engkau menurunkan hujan kepada kami, dan kami kini bertawassul kepadaMu dengan pakcik Nabi kami, maka turunkanlah hujan kepada kami."

Dalam riwayat al-Hakim, lafaz yang digunakan lebih jelas iaitu:

قال عمر: "أيها الناس إن رسول الله صلى الله عليه وسلم كان يرى للعباس ما يرى الولد لوالده، يعظمه ويفخمه ويبر قسمه، فاقتدوا أيها الناس برسول الله صلى الله عليه وسلم في عمه العباس، واتخذوه وسيلة إلى الله عز وجل فيما نزل بكم" انتهى
 (رواه الحاكم في المستدرك، وفيه داود بن عطاء المدني ضعيف، وقد توبع عند البلاذري من طريق هشام بن سعد - من رجل مسلم - عن زيد بن أسلم فقال : عن أبيه، بدل ابن عمر، فيحتمل أن يكون لزيد فيه شيخان، كذا في الفتح (2/497)م

   Kata Umar r.a. : "Wahai manusia, sesungguhnya Rasulullah SAW melihat kepada 'Abbas sebagaimana seorang anak melihat kepada ayahnya, Baginda selalu memuliakannya, membesarkannya dan melaksanakan sumpahnya. Maka, contohilah wahai manusia, akan Rasulullah SAW terhadap pakciknya 'Abbas dan jadikanlah dia wasilah kepada Allah Azza wa Jalla terhadap apa yang menimpa kamu sekalian."

   Dalil lain bahawa makna al-wasilah juga termasuk hamba Allah yang soleh ialah:

عن حذيفة : أنه سمع قارئا يقرأ : (( يا أيها الذين آمنوا اتقوا الله وابتغوا إليه وسيلة )) قال : القرية، ثم قال : لقد علم المحفوظون من أصحاب محمد صلى الله عليه وسلم، أن ابن أم عبد من أقربهم إلى الله وسيلة

"Daripada Huzaifah r.a. beliau mendengar seorang qari membaca: "Wahai orang-orang yang beriman, bertaqwalah kepada Allah dan carilah wasilah untuk menuju kepadaNya" (al-Maidah: 35). Kata beliau: "Iaitu qurbah (amalan taqarrub)". Kemudian katanya lagi: "Sesungguhnya orang-orang yang terpelihara daripada kalangan sahabat-sahabat Nabi Muhammad SAW mengetahui bahawa antara mereka Ibn Ummi 'Abd (yakni Ibn Mas'ud r.a.) merupakan wasilah yang paling dekat kepada Allah."

   Meskipun sudah banyak tulisan mengenai tawassul secara jelas dan lengkap, namun kekeliruan masih terus berlaku di kalangan masyarakat. Misalnya, menurut Kamus Dewan Edisi Empat, "Tawassul ialah perihal berhubung dengan Allah SWT dengan mengamalkan ibadat khusus mahupun umum: dalam terminologi Islam, ~ tawassul bererti mendekatkan diri kepada Allah dengan mentaati dan beribadah kepadaNya; bertawassul, melakukan tawassul: Islam melarang ~ tawassul dengan menggunakan perantara yang ditegah oleh syarak".


   Definisi Kamus Dewan di atas agak kurang tepat dengan konsep tawassul yang sebenar. Berdasarkan keterangan para ulama', tawassul dapat didefinisikan sebagai; berdoa kepada Allah Ta'ala dengan wasilah (perantara) iaitu menyertakan suatu wasilah yang diyakini ianya dikasihi dan diredhai oleh Allah SWT bagi mencapai sesuatu maksud.

   Dalam berdoa dengan wasilah, bererti seseorang bertaqarrub atau mendekatkan diri kepada Allah SWT dengan sesuatu yang dicintai dan diredhai olehNya, seperti bertaqarrub dengan ibadah dan amalan soleh yang dikerjakan atau bertaqarrub dengan para nabi dan rasulNya dan juga hamba-hambaNya yang soleh.

   Tujuannya adalah untuk menarik rahmat dan pandangan Allah SWT agar menunaikan dan memakbulkan permohonan doanya. Bukan sepertimana yang disangka oleh sesetengah orang bahawa bertawassul itu ialah berdoa meminta kepada selain Allah Ta'ala, wal 'iyazubillah...


Makna Wasilah dari Segi Bahasa dan Syarak


   Kata wasilah dari segi bahasa ialah martabat atau kedudukan. Ia juga bermakna darjat, pangkat dan juga kedekatan. Jika seseorang bertawassul kepada Allah SWT dengan suatu wasilah, maka ertinya dia melakukan suatu amalan yang mendekatkan dirinya kepada Allah SWT (suatu qurbah). Maka wasilah dari segi syarak pula tidak begitu jauh keluar daripada makna bahasa, sebab urusan utama kehidupan muslim adalah bagaimana mendekatkan diri kepada Allah SWT , mencapai keredhaan dan memperoleh pahala dariNya, merupakan rahmat Allah SWT yang telah menetapkan bagi kita seluruh ibadah sebagai pintu mendekatkan diri kepadaNya.

   Maka, orang Islam perlu sentiasa mendekatkan diri kepada Allah dengan pelbagai jenis ibadah yang telah disyariatkan oleh Allah SWT. Ketika seorang muslim melaksanakan solat, sesungguhnya ia sedang mendekatkan diri kepada Allah SWT dengan solatnya, iaitu bertawassul kepada Allah dengan solat tersebut. Sebenarnya kandungan al-Quran seluruhnya memerintahkan kepada kita untuk berwasilah (mendekatkan diri) kepada Allah SWT. Empat mazhab fiqh besar sepakat berpendapat bahawa boleh bertawassul dengan Nabi SAW, bahkan menegaskan anjuran terhadap hal tersebut dan tidak membezakan apakah ia dilakukan pada saat Baginda Baginda masih hidup atau setelah Baginda wafat.

(Petikan daripada kitab : Al Bayan Al Qawim li Tashihi Ba'di Al-Mafahiim, terjemahannya: Penjelasan Terhadap Masalah-Masalah Khilafiah, Selangor: Penerbitan Dar Hakamah, 2008)


Antara Dalil Tawassul


   Hukum tawassul adalah harus berdasarkan beberapa dalil. Antaranya hadis yang popular seperti berikut;

عن عثمان بن حنيف: أن رجلا ضرير البصر أتى النبي صلى الله عليه وسلم فقال: ادع الله أن يعافيني، قال: إن شئت دعوت وإن شئت ضربت فهو خير لك، قال: فادعه، قال: فأمره أن يتوضأ فيحسن وضوءه ويصلي ركعتين ويدعو بهذا الدعاء: اللهم إني أسألك وأتوجه إليك بنبيك محمد نبي الرحمة، يا محمد إني توجهت بك إلى ربي في حاجتي هذه لتقضى لي، اللهم فشفعه في وشفعني فيه.

(أخرجه الترمذي وقال: حسن صحيح غريب، وابن ماجه، والنسائي في الكبرى، وأحمد، والحاكم وقال: صحيح على شرط الشيخين، وابن خزيمة في صحيحه، وقال الأعظمي: إسناده صحيح)

Daripada 'Uthman bin Hunaif r.a. katanya: Bahawa ada seorang lelaki buta datang kepada Nabi SAW lalu mengadu tentang penglihatannya. Dia berkata, "Doakan kepada Allah agar Dia mengafiatkanku." Baginda SAW menjawab, "Jikalau kamu mahu, aku akan akan doakan dan jikalau kamu mahu, kamu bersabar sahaja (tidak mendoakannya supaya dia beroleh balasannya di Akhirat), maka itu lebih baik bagimu." Lelaki itu membalas, "Doakanlah." Maka Baginda SAW pun menyuruh lelaki buta itu berwuduk dan memperelokkan wuduknya serta melakukan solat dua rakaat, kemudian berdoa dengan doa ini : "Ya Allah! Sesungguhnya aku memohon kepadaMu dan bertawajjuh kepadaMu dengan (hak) NabiMu, Muhammad Nabi pembawa rahmat. Wahai Muhammad! Sesungguhnya aku bertawajjuh denganmu kepada Tuhanku pada hajatku ini agar ditunaikan untukku. Ya Allah! Syafaatkanlah dia padaku dan syafaatkanlah aku padanya."
(HR al-Tirmizi, Ibn Majah, an-Nasa'i, Ahmad, al-Hakim, Ibn al-Sunni, 'Abd bin Humaid dan Ibn Khuzaimah dalam sahihnya. Kata at-Tirmizi : Ini hadis hasan shahih gharib. Kata al-Hakim : Sahih menurut syarat al Bukhari dan Muslim. Dan ia dipersetujui oleh az-Zahabi.)




   Bertawassul dengan Nabi SAW bukan sahaja harus semasa hayat Baginda SAW, bahkan juga harus selepas kewafatannya. Dalilnya, 'Uthman bin Hunaif r.a. sendiri yang meriwayatkan hadis di atas telah mengajarkan petunjuk Baginda SAW itu kepada seorang lelaki lain di zaman Khalifah 'Uthman bin Affan r.a. , sebagaimana yang diriwayatkan oleh at-Tabarani dalam al-Mu'jam al-Kabir (no. 8311) dan al-Mu'jam al-Soghir (no. 508) dan menyatakan:

   Hadis ini sahih serta al-Baihaqi di dalam kitab Dala'il al-Nubuwwah daripada 'Uthman bin Hunaif r.a. iaitu ;

   "Ada seorang lelaki berkali-kali datang kepada Sayiduna 'Uthman bin Affan r.a. kerana suatu keperluan. Namun Sayyiduna 'Uthman selalu tidak menoleh kepadanya dan tidak sempat memerhatikan keperluannya. Kemudian lelaki tersebut bertemu 'Uthman bin Hunaif r.a. lalu mengadukan masalahnya kepada beliau. Maka 'Uthman bin Hunaif berkata kepadanya, "Pergilah ke tempat wuduk dan berwuduklah. Kemudian pergilah ke masjid, lalu lakukanlah solat dua rakaat. Setelah itu berdoalah; Ya Allah, sesungguhnya aku memohon kepadaMu dan bertawajjuh (menghadapkan diri) kepadaMu dengan Nabi kami, Muhammad SAW Nabi pembawa rahmat. Ya Muhammad, sesungguhnya aku bertawajjuh denganmu (iaitu sebagai wasilah) kepada Tuhanku supaya Dia menunaikan untukku hajatku, dan sebutkanlah hajatmu. Nanti datanglah kepadaku sehingga aku dapat pergi bersamamu. Lelaki tersebut terus pergi dan melaksanakan apa yang dikatakan oleh 'Uthman bin Hunaif kepadanya. Kemudian dia mendatangi pintu kediaman Sayyiduna 'Uthman bin 'Affan r.a. Maka segera penjaga pintu menghampirinya dan membawanya masuk terus menghadap Sayyiduna 'Uthman bin 'Affan. Lalu beliau mempersilakannya duduk bersama-samanya di atas permaidani dan bertanya, "Apa keperluanmu?" Lelaki itu pun menyebutkan keperluannya. Maka Sayiduna 'Uthman pun menunaikan keperluannya. Kemudian beliau berkata kepadanya, "Kamu tidak menyebutkan keperluanmu sehinggalah saat ini." Katanya lagi, "Jika kamu ada sebarang keperluan lagi, datanglah kepada kami." Kemudian lelaki itu pun keluar dari kediaman Sayyiduna Uthman. Dia segera menemui 'Uthman bin Hunaif lalu berkata kepadanya, "Semoga Allah membalas kebaikan untukmu. Sebelumnya beliau tidak melihat langsung pada keperluanku dan juga tidak menoleh kepadaku sehinggalah engkau berbicara dahulu dengannya tentang diriku." 'Uthman bin Hunaif menjawab, "Demi Allah aku tidak berbicara langsung pun dengannya. Akan tetapi, aku pernah menyaksikan Rasulullah SAW sewaktu ada seorang lelaki buta datang kepada Baginda SAW, lalu mengadu kepada Baginda SAW tentang kehilangan penglihatannya. Maka Nabi SAW bertanya kepadanya, " Adakah kamu mahu bersabar?" Lelaki itu membalas, "Ya Rasulullah, aku tidak punya seorang pun pemandu jalan, dan ini begitu menyukarkanku." Lantas Nabi SAW bersabda kepadanya, "Pergilah ke tempat wuduk dan berwuduklah. Kemudian lakukan solat dua rakaat. Setelah itu, berdoalah dengan doa ini..." Kata 'Uthman bin Hunaif, "Demi Allah, kami belum pun beredar pergi dan tidak berlalu masa lama sehinggalah lelaki tersebut masuk semula kepada kami seolah-olah beliau tidak pernah mengalami sebarang sakit apa pun."

   Kata al-'Allamah al-Sayyid 'Abdullah bin al-Siddiq al-Ghumari dalam Irgham al-Mubtadi' al-Ghabi: "Cerita ini sangat sahih." Al-Hafiz al-Munziri dalam kitab al-Targhib wa al-Tarhib dan al-Hafiz al-Haithami dalam kitab Majma' al-Zawa'id bersepakat dalam menyatakannya sebagai sahih.

   Ini merupakan dalil jelas bahawa tawassul berkenaan bukan khusus pada waktu Nabi SAW masih hidup sahaja. Malah tidak ada dalil pun yang mengkhususkan pengamalan doa tersebut khusus semasa Nabi SAW masih hidup. Ini dikukuhkan lagi dengan satu jalan riwayat di sisi Ibn Abi Khaithamah dalam Tarikhnya bagi hadis 'Uthman bin Hunaif tersebut bahawa Nabi SAW bersabda di bahagian akhirnya:

وإن كانت حاجة، فافعل مثل ذلك

"Dan jika ada sebarang hajat, maka lakukanlah seumpama itu," yakni pada bila-bila masa sahaja. Al-Allamah al-Sayyid 'Abdullah bin al-Siddiq al-Ghumari mengatakan: "Sanadnya juga sahih."

   Kata Syeikh Muhammad 'Abdullah Abu Su'aylik di dalam kitab Masa'il Fiqhiyyah lin Niqasy (hlm. 34): "Harus bertawassul dengan Nabi SAW selepas kewafatannya dengan iktikad bahawa yang melaksanakan ialah Allah SWT, Dia-lah yang memberi dan menegah, berdasarkan hadis 'Uthman bin Hunaif r.a."

Asal Polemik Tawassul


   Kata Imam Taqiyuddin as-Subki (w. 756H) dalam Syifa' as-Saqqam fi Ziyarah Khair al-Anam (hlm. 171) : "Ketahuilah bahawa harus dan elok bertawassul, istighathah (mohon bantuan) dan memohon syafaat dengan Nabi SAW kepada Allah SWT. Keharusan dan keelokannya adalah termasuk perkara-perkara yang sudah maklum bagi setiap orang yang beragama, sudah diketahui termasuk daripada perbuatan para nabi dan rasul, sejarah para salafusssoleh, para ulama' dan masyarakat umum Islam. Tidak ada seorang pun yang mengingkarinya daripada kalangan para penganut agama-agama, mahupun didengari seumpama itu dalam mana-mana zaman, sehinggalah datang Ibn Taimiyyah, lalu ia membincangkannya dengan satu perbincangan yang  mengelirukan golongan yang daif lagi bodoh dan membuat pembaharuan yang belum pernah dilakukan orang sebelumnya dalam mana-mana zaman. Sebab itu, ia telah mengkritik kisah yang diriwayatkan daripada Imam Malik bahawa beliau berkata kepada Khalifah Mansur (tentang cara ziarah Nabi SAW) : "Mohonlah syafaat dengannya." Dan kami telah pun terangkan kesahihannya. Justeru itu, kami masukkan soal istighasah di dalam kitab ini kerana ia turut membincangkannya bersama soal ziarah. Memadailah bagimu, bahawa pengingkaran Ibn Taimiyyah terhadap istighasah dan tawassul itu merupakan satu pandangan yang belum pernah diucapkan oleh seorang alim pun sebelumnya, sehinggalah ia menjadi ikutan di kalangan umat Islam."

   Imam as-Subki menjelaskan bahawa perselisihan tentang tawassul hanya baru muncul di zaman Syeikh Ibn Taimiyyah. Ia kemudian telah dianggap termasuk dalam masalah-masalah khilafiyyah. Sehingga dapat dikatakan, banyak kitab fatwa kontemporari yang muncul pada hari ini tidak lepas dari membincangkan isu tawassul sama ada pro atau kontra. Kata Syeikh Hassan al-Banna dalam Usul al-'Isyrin: "Dan berdoa apabila disertai dengan bertawassul kepada Allah dengan seseorang dari makhlukNya adalah khilaf far'ie (fiqhi) dalam cara berdoa dan bukan merupakan masalah-masalah akidah."

   Isu tawassul berdasarkan perselisihan tersebut terbahagi kepada beberapa hukum, ada tawassul yang disepakati keharusannya oleh ulama Islam dan ada tawassul yang diperselisihkan keharusannya oleh mereka. Antara tawassul yang disepakati oleh ulama Islam ialah bertawassul dengan amalan soleh dan begitu juga bertawassul dengan doa orang yang masih hidup. Manakala tawassul yang diperselisihkan ialah bertawassul dengan orang yang telah meninggal dunia.

   Antara kekeliruan orang yang menolak tawassul dengan orang yang telah meninggal dunia ialah ianya membawa kepada syirik. Kita katakan, jika ianya syirik, maka bertawassul dengan amalan soleh atau orang yang masih hidup itu juga boleh syirik kerana ia bertawassul dengan selain dari Allah SWT, atau menganggap amalan soleh atau orang itu boleh memberi manfaat dan mudarat selain dari Allah SWT. Sedangkan maksud sebenar bertawassul dengan orang yang telah meninggal dunia ialan amalan soleh dan kedudukan mulianya di sisi Allah SWT yang ada pada orang itu. Jika bukan kerana amalan soleh dan kedudukannya, maka tidak ada apa-apa makna jika sekadar bertawassul dengan zat (tubuh badan) orang tersebut. Dari sudut ini, sebenarnya tiada apa-apa beza sama ada orang itu masih hidup atau telah meninggal dunia. Maka, bertawassul dengan orang yang telah meninggal dunia sebenarnya serupa juga sepertimana bertawassul dengan amalan soleh atau orang yang masih hidup yang disepakati keharusannya oleh semua ulama.

Wallahua'lam.

Selasa, 5 Disember 2017

Fidyah : Jangan Diabaikan

Fidyah : Jangan diabaikan



“Saya ada tertinggal puasa dan tak sempat untuk ganti.Jadi bagaimana saya hendak kira fidyah dan dimanakah pula saya hendak bayar fidyah…? Puasa tahun lepas dah ganti atau belum? Sudah menjadi fenomena apabila menjelang Ramadhan, ramai yang akan datang menghubungi kaunter zakat bertanya tentang cara mengira fidyah dan dimana hendak bayar fidyah…”

   Fidyah berkait rapat dengan ibadah puasa yang mana ada beberapa sebab dalam puasa wajib yang kita tinggalkan akan dikenakan fidyah. Antaranya meninggalkan puasa kerana tua atau lanjut usia, sakit kronik berpanjangan dan tiada harapan untuk sembuh, wanita hamil yang menyusukan anak terpaksa meninggalkan puasa serta menangguhkan qada pausa sehingga tiba Ramadhan berikutnya.

   Fidyah adalah satu bentuk ibadah niyabah (gantian) yang diberi pahala kepada pelakunya. Hukum menyempurnakan ibadah yang tidak sempurna adalah wajib. Maka hukum fidyah adalah wajib seperti yang ditentukan syarak.

    Firman Alllah SWT yang bemaksud, 

“...dan wajib atas orang-orang yang yang tidak terdaya berpuasa (kerana tua dan sebagainya) membayar fidyah iaitu memberi makan orang miskin. Maka sesiapa yang dengan sukarela memberikan (bayaran fidyah) lebih daripada yang ditentukan itu, maka ia adalah suatu kebaikan baginya, dan (walaupun demikian) berpuasa itu lebih baik daripada kamu (daripada memberi fidyah), kalau kamu mengetahui."
(Surah al-Baqarah 2;184)


   Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud,

"Barang siapa yang mati sedangkan dia masih mempunyai puasa Ramadhan yang belum diqadanya,hendaklah diberi makan seorang miskin bagi setisap hari yang ditinggalkan bagi pihaknya.”
(Riwayat Imam Tirmizi)

Keadaan Orang Yang Dikenakan Fidyah atau Sebaliknya


  • Seseorang yang meninggalkan puasa kerana sakit, maka wajib ke atasnya qada' puasa sebelum datangnya Ramadhan tahun berikutnya
  • Seseorang yang menangguhkan qada puasanya sehingga tiba Ramadhan berikutnya kerana cuai, menangguh-nangguh atau tidak mengambil berat, maka dia dikira berdosa dan diwajibkan membayar fidyah serta qada puasa mengikut bilangan hari yang ditinggalkan.
  • Seseorang yang sakit secara berterusan hingga masuk Ramadhan berikutnya, maka dia wajb mengqada puasanya sahaja tanpa dikenakan fidyah.
  • Seseorang yang meninggal dunia tetapi diketahui oleh waris sebenarnya mampu mengqada puasanya,maka warisnya sunat mengqada hari-hari yang ditinggalkan bagi pihaknya.
[ Jika tiada seorang pun sanggup berpuasa bagi pihak si mati, maka hendaklah dikeluarkan bagi satu cupak beras bagi setiap hari yang ditinggalkan. Ia wajib dikeluarkan bagi daripada harta pusaka yang ditinggalkan, sama seperti hutang. Sekiranya dia tidak memiliki harta, maka waris boleh mengeuarkan bagi pihaknya dan terlepaslah dosanya. ]
  • Seseorang meninggalkan puasa kerana tua atau lanjut usia. Sekiranya dengan berpuasa akan membawa kesulitan kepadanya dan disahkan oleh doktor akan membawa kemudaratan, maka wajib membayar fidyah sahaja berlandaskan kesepakatan ulama.
  • Seseorang yang mengalami sakit kronik  berpanjangan dan disahkan doktor tiada harapan untuk sembuh,maka wajib membayar fidyah dengan kesepakatan ulama. Hal ini kerana puasa tidak lagi wajib keatasnya.
  • Wanita hamil dan wanita menyusukan anak, jika meninggalkan puasa kerana bimbangkan kemudaratan anaknya dan dirinya, maka wajib membayar fidyah berserta dengan qada puasa mengikut jumhur ulama.
  • Sekiranya seorang wanita yang kedatangan haid pada bulan Ramadhan kemudian tidak sempat menghabiskan qada puasa sehingga Ramadhan yang akan datang, maka wajib membayar fidyah dan tetap wajib mengqada puasa yang ditinggalkan.

  • Bagi yang masih sihat fizikal mental, menggantikan puasa terlebih dahulu adalah afdhal kerana masih ada masa menjelang Ramadhan akan datang. Anda juga digalakkan untuk menyemak, merenungi dan mengingati kembali kewajiban ibadah puasa  iaitu bermula dari awal usia baligh hingga kini, sama ada pernah ditinggalkan, telah diqadakan atau belum dan teleh selesai dibayar fidyahnya atau tidak. 

Berapakah Kadar dan Cara Pengiraan Fidyah?


   Kadar bayaran fidyah adalah berdasarkan harga secupak makanan asasi penduduk setempat. Kadar berikut berubah bergantung kepada kadar fitrah semasa yang akan diputuskan oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri Sembilan setiap tahun. 

   Untuk maklumat semua, kadar bayaran Zakat Fitrah Negeri Sembilan adalah sebanyak 1 gantang Baghdad bersamaan 2.751 kg. Oleh yang demikian, kadar fidyah adalah bersamaan ¼ gantang iaitu sebanyak 688 gram. Kadar fidyah yang diguna pakai oleh Pusat Zakat Negeri Sembilan (PZNS) ialah sebanyak ¼ daripada harga fitrah yang telah diwartakan.


Contoh Pengiraan Fidyah


Situasi : 

   Puan Azlin telah meninggalkan puasa sebanyak 5 hari pada bulan Ramadhan 1436H(2015), namun dia melambat-lambatkan qadanya sehingga datang bulan Ramadhan 1437H (2016), maka wajib bagi Puan Azlin membayar fidyah selain mengqada puasanya yang ditinggalkan.   

   Untuk mengetahui jumlah fidyah yang wajib dibayar oleh Puan Azlin dalam bentuk sukatan atau timbangan adalah seperti berikut:·         


Jumlah qada puasa Puan Azlin adalah kekal sebanyak 5 hari.
  • 1 hari puasa yang ditinggalkan dikenakan 1 cupak beras atau bersamaan 688 gram.
  • 5 hari puasa dikenakan 5 cupak (688 gram x 5 = 3438 gram bersamaan 3.43 kilogram). Sekiranya kadar fitrah pada 1437 H adalah RM 6.50,maka ¼ harga fitrah adalah bernilai RM 1.65.
Oleh yang demikian, kadar fidyah bagi 5 hari puasa yang ditinggalkan oleh Puan Azlin adalah sebanyak RM 1.65 x 5 hari = RM 8.25.

Ahad, 3 Disember 2017

Sejarah Perpecahan Kumpulan Saidina Ali

Sejarah Perpecahan Kumpulan Saidina Ali

Penterjemah : Mohd Hanis bin Nasruddin
Sumber        : Tarikh al-Tasyri' al-Islami oleh Ibrahim Dasuki Syahawi




   Pada zaman Rasulullah SAW, kumpulan yang dikenali secara khususnya dengan nama Syiah dan Khawarij tidak wujud, bahkan begitu juga pada zaman Saidina Abu Bakar as-Siddiq r.a. , zaman Saidina Umar bin al-Khattab r.a. dan zaman Saidina Uthman bin Affan r.a. Dua kalimah ini tidak menjadi buah mulut manusia melainkan setelah diangkatnya Saidina Ali bin Abi Talib - karamallahu wajhah - sebagai khalifah dan yang berkait dengan khilafah itu, sehinggalah dua kalimah itu menjadi satu simbol yang menggambarkan kumpulan yang pernah bersama Saidina Ali - karamallahu wajhah - pada bai'ah (taat setia) dan dakwah kepadanya. Akhirnya, kumpulan ini terpisah dengan pandangan yang berbeza-beza.

   Hal ini berlaku kerana selepas kewafatan Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, Saidina Ali bin Abi Talib - karamallahu wajhah - dan disokong oleh beberapa sahabat, melihat bahawasanya khilafah adalah satu warisan adabiy (terj : maknawi), maka Saidina Ali lah yang paling layak memegang khilafah ketika itu kerana beliau adalah sepupu Nabi SAW dan juga telah menikahi anak perempuan Baginda, Saidatina Fatimah r.a. Saidina Ali juga merupakan ahli bait yang paling dicintai Nabi SAW. Justeru itu, tiada sesiapa yang berhak didahulukan untuk memegang khilafah, tiada sesiapa yang lebih berhak daripada Saidina Ali untuk mentadbir manusia dalam maslahat agama dan politik.

   Bersama kefahaman Saidina Ali dan pengikut-pengikut beliau pada pandangan di atas, mereka tetap memilih untuk menyertai jema'ah dalam membai'ah Saidina Abu Bakar as-Siddiq, Saidina Umar al-Farouq dan Saidina Uthman bin Affan - semoga Allah merahmati mereka - .

   Ketika huru-hara mula mencengkam keruntuhan khilafah pada zaman Saidina Uthman r.a. dan gosip-gosip mula menjadi amalan masyarakat ketika itu sehinggalah berakhir dengan pembunuhan Saidina Uthman r.a., pengikut Saidina Ali mula bergerak aktif dan bangkit pada permulaan mereka dengan cara merampas khilafah secara keras setelah lama menanti waktu berlalunya tiga khalifah sebelumnya - semoga Allah meredhai mereka - . Saat proses membai'ah Saidina Ali k.w.h. hampir berjaya, keluarlah tiga orang daripada kibar sohabah (terj : sahabat yang mempunyai kedudukan yang tinggi) iaitu Talhah bin Abdillah , Zubair bin Awwam dan Mu'awiyah bin Abi Sufyan mengatakan pendirian mereka untuk tidak membai'ah Saidina Ali. Mereka menyuarakan pandangan mereka bahawa Saidina Ali tidak banyak menyokong usaha kebangkitan kaum muslimin untuk menuntut bela ke atas kematian Saidina Uthman r.a. . 

   Saidina Ali dikatakan hanya duduk berdiam diri daripada memyokongnya sedangkan beliau mampu untuk membantah pembunuhan Saidina Uthman tersebut. Sesungguhnya selepas Saidina Ali dibai'ah sebagai khalifah, beliau hanya duduk diam daripada bangun mengambil tindakan ke atas kematian Saidina Uthman r.a. , sehinggalah datangnya sangkaan daripada kalangan masyakarat bahawa Saidina Ali r.a. bersenang santai dengan pembunuhan Saidina Uthman r.a. kerana beberapa pembunuh Saidina Uthman menyertai tentera Saidina Ali - karamallahu wajhah - dan Saidina Ali pun tidak menyingkirkan mereka.

   Oleh kerana itu, mula lah mereka menentang bai'ah Saidina Ali r.a. dan mendokong peperangan ke atas beliau, dengan takwilan dari diri mereka sendiri ke atas percanggahan ini bahawasanya kebenaran itu berpihak kepada orang yang tidak membai'ah Saidina Ali, dan sesungguhnya agama itu menuntut mereka untuk memberontak.

   Akan tetapi, tiga sahabat yang menentang khilafah Saidina Ali itu hakikatnya berjuang bagi menegakkan diri mereka sendiri sebagai khalifah dan melihat kekuasaan itu adalah hak mereka. Mereka melihat bahawa mereka berkemampuan dalam membangkitkan ummah dan mencantas segala fitnah-fitnah yang terzahir sebelum keadaan menjadi parah. Adapun Talhah bin Abdillah dan Zubair bin Awwam memiliki keistimewaan tertentu bahawa mereka : Termasuk dalam kalangan 6 orang sahabat yang dicalonkan oleh Saidina Umar r.a. ketika saat kewafatan beliau untuk syura (terj : mesyuarat) dalam hal pemilihan khalifah. Mereka berdua juga termasuk daripada kalangan yang awal memeluk agama Islam. Adapun Muawiyyah memiliki keistimewaan : Bahawa beliau adalah seorang yang mempunyai hubungan persaudaraan yang paling dekat dengan Saidina Uthman r.a. dan beliau juga adalah seorang yang paling berkemampuan untuk menuntut bela akan kematian Saidina Uthman,, juga yang paling berhak memegang jawatan khalifah setelahnya.

   Maka terjadilah peperangan antara mereka dengan Saidina Ali - karamallahu wajhahu - dan Saidina Ali berjaya menewaskan Talhah dan Zubair semasa perang Jamal.

   Kemudian berlakulah pertempuran sengit antara tentera Saidina Ali dan tentera Muawiyyah bin Abi Sufian dalam perang Siffin - di bumi Syam - dan ketika bibit-bibit kekalahan terlihat pada tentera Muawiyyah dan beliau menyangka akan menerima kekalahan, maka beliau meminta untuk mengadakan genjatan senjata dan melakukan helah dengan meletakkan al-Quran di atas tombak-tombak (terj : isyarat tahkim). Daripada saat ini, sahabat-sahabat yang berpihak kepada Saidina Ali terpecah kepada beberapa kumpulan. Ada kumpulan yang melihat bahawa ia adalah helah dan tipu daya daripada Muawiyah agar beliau dapat menguasai peperangan, maka jawapan mereka adalah teruskan berperang dan jangan berhenti.

   Kumpulan yang lain melihat adalah lebih baik untuk dihentikan peperangan dan menjawab permintaan Muawiyah untuk melakukan genjatan senjata justeru melakukan tahkim kitabullah Ta'ala. Akhirnya Saidina Ali r.a. lebih cenderung memilih pandangan kedua di mana ia tidak membawa kepada pertumpahan, dan pilihan Saidina Ali tersebut telah memulakan keretakan dalam barisan tenteranya dan menjadi punca perbalahan antara pengikutnya.

   Para penentang pemikiran tahkim telah bergegas untuk tidak mentaati Saidina Ali dan mengingkari pilihannya dengan menahan diri daripada membunuh Muawiyah. Hanya mereka yang tidak menginkan pembunuhan Muawiyah sahaja yang kekal setia bersama beliau, menunggu apa yang berlaku selepas itu.

   Bermula dari sini zahirlah parti-parti (kumpulan) agama. Puak yang terpisah daripada Saidina Ali k.w.h. dinamakan sebagai "Khawarij" , manakala mereka yang masih berada di sekeliling Saidina Ali dan belum menyertai kumpulan Muawiyah dinamakan sebagai "Syiah". Di sisi dua puak ini juga ada satu puak yang dinamakan "Jumhur Muslimin " yang mana mereka tidak keluar daripada kumpulan Saidina Ali dan tidak juga masuk ke dalam Syiah. Alhasil, wujudlah aliran agama yang khusus bagi setiap puak-puak tersebut justeru memberi kesan kepada Fiqh Islamiy yang saling berbeza dengan satu sama lain.

Rabu, 29 November 2017

Persoalan Berkaitan Wakaf

Persoalan Berkaitan Wakaf

Oleh : Jabatan Mufti Kerajaan Negeri Sembilan

Siapakah yang layak untuk menguruskan harta wakaf?


   Orang yang paling berhak untuk menguruskan harta wakaf ialah sesiapa yang ditetapkan sendiri oleh pewakaf.


   Oleh itu, segala syarat yang ditetapkan bagi pengurusan tersebut (termasuk penggunaan dan lain-lain), hendaklah dipatuhi.

   Jika pewakaf meninggal dunia setelah menugaskan seseorang sebagai pengurus harta wakaf, maka tugas tersebut terserah kepada pengurus berkenaan. Ia adalah harus, supaya hasrat pewakaf agar harta wakafnya diawasi, dapat dilaksanakan. Hal ini berdasarkan kepada hadis yang bermaksud:

"Umar r.a. pernah menguruskan harta wakafnya sendiri. Kemudian beliau menugaskan anaknya, Hafsah menguruskannya selama hidup. Selepas itu, harta tersebut diurus oleh bijak pandai dalam kalangan ahli keluarganya." (Riwayat Abu Daud 2879)



Apakah jenis-jenis harta yang boleh diwakafkan?


Harta atau barang yang diwakaf juga, boleh dibahagikan kepada 3 bahagian iaitu:

1. Harus mewakafkan harta tak alih, sama ada tanah, rumah, premis perniagaan, perigi atau mata air. Walau bagaimana keadaannya, selagi harta tersebut boleh dimanfaatkan, sama ada pada ketika itu atau pada masa akan datang.


2. Sah mewakafkan harta alih seperti haiwan, kenderaan, peralatan perang, pakaian, hamparan bejana dan buku-buku yang bermanfaat.

Kini, terdapat pengaplikasian moden wakaf yang diperkenalkan saham wakaf atau istilah lain yang digunakan adalah sebagai wakaf tunai. Saham wakaf  diwujudkan melalui sumbangan tunai (dikenali sama sebagai wakaf tunai) kepada satu tabung amanah yang dibentuk. Ia akan digunakan bagi memperoleh harta kekal yang akan diwakafkan.

Biasanya, tabung ini akan digunakan untuk pembelian hartanah atau pembinaan bangunan seperti pusat pengajian, hospital dan sebagainya yang akan diwakafkan atau pembangunan tanah wakaf sedia ada.

3. Harta bersama bermaksud harta milik bersama yang tidak dapat ditentukan antara satu dengan yang lain. Sah wakaf harta milik bersama, sama ada harta alih atau tak alih, sama ada bahagian bersama itu diwakafkan oleh seorang atau orang ramai.


Bagaimanakah penggunaan harta wakaf?


   Harta wakaf tidak harus dijual beli, dihibah atau diwarisi, sama ada pewakaf atau penerima wakaf, sama ada penerima khusus atau tidak khusus. Ia tetap menjadi milik Allah. Penggunaan manfaatnya terserah kepada penerima wakaf dan seboleh-bolehnya diuruskan menurut ketetapan pewakaf. Hal ini berdasarkan hadis yang bermaksud:

   Daripada Ibnu Umar berkata, bahawa Umar bin al-Khattab telah mendapatkan sebidang tanah di Khaibar. Lalu beliau bertemu Nabi SAW untuk berbincang mengenainya. Katanya, "Wahai Rasulallah! Aku mendapat sebidang tanah di Khaibar; aku tidak pernah mendapat harta yang lebih berharga padaku daripadanya. Justeru, apakah yang Tuan hendak aku lakukan dengan tanah itu?" 

Jawab Baginda SAW, "Jika mahu, engkau tahanlah tanah itu dan mewakafkannya." Lalu Umar mewakafkan tanah tersebut. Ia tidak boleh dijual, dihibah dan diwarisi. Beliau mewakafkannya untuk fakir miskin, kaum kerabat, pembebasan hamba, kepentingan agama Islam, musafir dan para tetamu. Tidak salah bagi pengurus tanah tersebut makan hasilnya secara berpatutan dan memberi makan tanpa tujuan menyimpan harta.

(Riwayat Bukhari 2586 dan Muslim 1632)

Selasa, 28 November 2017

TAQWA

TAQWA

Oleh : Ustaz Danial Farhan bin Dolmat
           Felo Muda Dakwah di Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM)

Dalam siri yang lalu, penulis telah membicarakan mengenai maqam Uzlah. Menerusi artikel kali ini, penulis ingin menyambung perbincangan mengenai maqam Taqwa pula. Signifikan hubungan di antara dua maqam ini membayangkan bahawa Uzlah mendidik jiwa seorang salik untuk membentuk ketaqwaan kepada Allah SWT. Taqwa merupakan elemen penting dalam kehidupan rohani seorang salik kerana taqwa merupakan kunci kejayaan dunia dan akhirat.


Taqwa di dalam al-Quran dan as-Sunnah

Allah SWT berfirman di dalam Surah al-Hujurat ayat 13, mafhumnya:

"Sesungguhnya orang yang paling mulia dalam kalangan kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa."

Firman Allah SWT lagi menerusi Surah Ali Imran ayat 102, mafhumnya:

"Wahai mereka yang beriman, bertaqwalah kepada Allah dengan taqwa yang hakiki dan janganlah kamu mati kecuali dalam keadaan Islam."

   Imam al-Tirmizi meriwayatkan daripada Sayyidina Jundab bin Junadah dan Sayyidina Muaz bin Jabal r.a. bahawa Rasulullah SAW berpesan kepada mereka berdua dengan sabdanya,

"Bertaqwalah kepada Allah di mana sahaja kamu berada. Iringilah kejahatan dengan kebaikan, nescaya kebaikan itu akan menghapuskan kejahatan tersebut dan berakhlaklah terhadap manusia dengan akhlak yang baik."

   Imam Ibnu al-Dhurais meriwayatkan daripada Sayyidina Abu Sa'id al-Khudri r.a., beliau berkata: Seorang lelaki datang bertemu Nabi SAW lalu berkata, "Nabi Allah! Tolong berikan wasiat kepada saya." Lantas Rasulullah SAW bersabda,

"Hendaklah kamu tetap bertaqwa kepada Allah kerana taqwa itu merupakan himpunan setiap kebaikan. Tetaplah juga dalam berjihad kerana jihad merupakan kependetaan seorang muslim dan hendaklah juga kamu sentiasa berzikir mengingati Allah kerana zikir itu cahaya untukmu."


Definisi Taqwa

   Taqwa dari sudut bahasa bermaksud kawalan. Imam al-Qusyairi menyatakan: "Dasar taqwa ialah mengawal diri daripada melakukan syirik. Setelah itu, mengawal diri daripada melakukan maksiat dan kejahatan. Kemudian, mengawal diri daripada terjatuh ke dalam perkara syubhat dan akhir sekali hasil taqwa ialah meninggalkan sikap berlebih-lebihan dalam perkara harus."

   Imam Abu Ali al-Daqqaq berkata. "Tafsir firman Allah SWT :  "Bertaqwalah kepada Allah dengan taqwa yang hakiki ", ialah mentaatiNya bukan menderhakaiNya. MengingatiNya bukan melupakanNya dan mensyukuriNya bukan kufur terhadapNya."


Taqwa Menurut Ulama Sufi

   Sahl bin Abdullah berkata, "Tiada penolong selain Allah SWT. Tiada pembimbing selain Rasulullah SAW. Tiada bekalan selain taqwa dan tiada amalan tanpa kesabaran."

   Al-Kittani berkata. "Dunia dijadikan tempat menerima ujian kesusahan. Manakala akhirat pula dijadikan tempat menerima ganjaran ketaqwaan."

   Al-Jariri berkata, "Sesiapa yang tidak memperkemas hubungannya dengan Allah SWT melalui taqwa dan muroqobah, dia tidak akan memperoleh kasyaf dan musyahadah."

   An-Nasr Abazi berkata, "Taqwa ialah mengawal hati daripada terpengaruh dengan selain Allah SWT."

   Beliau berkata lagi, "Siapa yang melazimi taqwa, pasti dia tidak sabar untuk berpisah dengan dunia kerana Allah SWT berfirman, mafhumnya : "Negeri Akhirat itu lebih baik buat orang-orang yang bertaqwa", Oleh itu, adakah kamu tidak memikirkannya?"

   Sebahagian ulama' sufi berkata, "Siapa yang berjaya merealisasikan taqwa, Allah SWT akan memudahkannya untuk berpaling daripada godaan dunia."

   Abu Bakar Muhammad al-Ruzbari berkata; "Taqwa ialah menjauhkan diri daripada perkara-perkara yang menjauhkan kamu daripada Allah SWT."

   Ibnu 'Ato' berkata, "Taqwa itu ada zahir dan batinnya. Zahir taqwa ialah memelihara hukum-hakam syarak. Manakala batinnya ialah niat dan keikhlasan."

   Dikatakan, "Ada tiga perkara yang boleh menjadi dalil ketaqwaan seseorang iaitu bertawakal pada perkara yang dia tidak dapat, redha terhadap apa yang dia dapat dan bersabar terhadap perkara yang dia terlepas."

   Abu al-Husain al-Zanjani berkata. "Sesiapa yang memiliki taqwa sebagai modal, pasti lidah menjadi kelu untuk mengungkapkan keuntungan perniagaannya."

   Amirul Mukminin Sayyiduna Ali Karamallahu wajhahu berkata, "Penghulu manusia di dunia ini ialah orang yang pemurah. Manakala penghulu mereka di akhirat nanti ialah golongan yang bertaqwa."

Riwayat as-Sufi

Suatu hari, Imam al-Junaid duduk bersama-sama Ruwaim, al-Jariri dan Ibnu 'Ato'. Lalu al-Junaid pun berkata, "Hanya dengan kepasrahan hakiki, seseorang itu boleh terlepas."

Lantas Ruwaim pula menyahut, "Hanya dengan ketaqwaan hakiki, seseorang itu boleh terlepas."

Al-Jariri pula menyampuk dengan berkata, "Hanya dengan memelihara janji, seseorang itu boleh terlepas."

Akhirnya Ibnu 'Ato' pula menyambung, "Hanya dengan perasaan malu yang hakiki, seseorang itu boleh terlepas."

Subhanallah! Lihat bagaimana para ulama' sufi ini duduk sambil berbicara soal rohani. Moga kita diizinkan Allah SWT untuk mengikut jejak langkah mereka.

Hubungi Kami


LEMBAGA MASJID NEGERI SEMBILAN


No 23-1, Jln Taman Komersial Senawang 8,
Taman Komersial Senawang,
70450 Senawang,
Negeri Sembilan Darul Khusus.

No. Tel : 06-6798681/82
No. Fax : 06-6787278 (PWNS)

Lawatan Kerja Masjid Model Teladan

   Tanggal 18hb Disember sehingga 20hb Disember 2017 , Lembaga Masjid Negeri Sembilan telah mengadakan lawatan kerja ke masjid-masjid terp...