Rabu, 29 November 2017

Persoalan Berkaitan Wakaf

Persoalan Berkaitan Wakaf

Oleh : Jabatan Mufti Kerajaan Negeri Sembilan

Siapakah yang layak untuk menguruskan harta wakaf?


   Orang yang paling berhak untuk menguruskan harta wakaf ialah sesiapa yang ditetapkan sendiri oleh pewakaf.


   Oleh itu, segala syarat yang ditetapkan bagi pengurusan tersebut (termasuk penggunaan dan lain-lain), hendaklah dipatuhi.

   Jika pewakaf meninggal dunia setelah menugaskan seseorang sebagai pengurus harta wakaf, maka tugas tersebut terserah kepada pengurus berkenaan. Ia adalah harus, supaya hasrat pewakaf agar harta wakafnya diawasi, dapat dilaksanakan. Hal ini berdasarkan kepada hadis yang bermaksud:

"Umar r.a. pernah menguruskan harta wakafnya sendiri. Kemudian beliau menugaskan anaknya, Hafsah menguruskannya selama hidup. Selepas itu, harta tersebut diurus oleh bijak pandai dalam kalangan ahli keluarganya." (Riwayat Abu Daud 2879)



Apakah jenis-jenis harta yang boleh diwakafkan?


Harta atau barang yang diwakaf juga, boleh dibahagikan kepada 3 bahagian iaitu:

1. Harus mewakafkan harta tak alih, sama ada tanah, rumah, premis perniagaan, perigi atau mata air. Walau bagaimana keadaannya, selagi harta tersebut boleh dimanfaatkan, sama ada pada ketika itu atau pada masa akan datang.


2. Sah mewakafkan harta alih seperti haiwan, kenderaan, peralatan perang, pakaian, hamparan bejana dan buku-buku yang bermanfaat.

Kini, terdapat pengaplikasian moden wakaf yang diperkenalkan saham wakaf atau istilah lain yang digunakan adalah sebagai wakaf tunai. Saham wakaf  diwujudkan melalui sumbangan tunai (dikenali sama sebagai wakaf tunai) kepada satu tabung amanah yang dibentuk. Ia akan digunakan bagi memperoleh harta kekal yang akan diwakafkan.

Biasanya, tabung ini akan digunakan untuk pembelian hartanah atau pembinaan bangunan seperti pusat pengajian, hospital dan sebagainya yang akan diwakafkan atau pembangunan tanah wakaf sedia ada.

3. Harta bersama bermaksud harta milik bersama yang tidak dapat ditentukan antara satu dengan yang lain. Sah wakaf harta milik bersama, sama ada harta alih atau tak alih, sama ada bahagian bersama itu diwakafkan oleh seorang atau orang ramai.


Bagaimanakah penggunaan harta wakaf?


   Harta wakaf tidak harus dijual beli, dihibah atau diwarisi, sama ada pewakaf atau penerima wakaf, sama ada penerima khusus atau tidak khusus. Ia tetap menjadi milik Allah. Penggunaan manfaatnya terserah kepada penerima wakaf dan seboleh-bolehnya diuruskan menurut ketetapan pewakaf. Hal ini berdasarkan hadis yang bermaksud:

   Daripada Ibnu Umar berkata, bahawa Umar bin al-Khattab telah mendapatkan sebidang tanah di Khaibar. Lalu beliau bertemu Nabi SAW untuk berbincang mengenainya. Katanya, "Wahai Rasulallah! Aku mendapat sebidang tanah di Khaibar; aku tidak pernah mendapat harta yang lebih berharga padaku daripadanya. Justeru, apakah yang Tuan hendak aku lakukan dengan tanah itu?" 

Jawab Baginda SAW, "Jika mahu, engkau tahanlah tanah itu dan mewakafkannya." Lalu Umar mewakafkan tanah tersebut. Ia tidak boleh dijual, dihibah dan diwarisi. Beliau mewakafkannya untuk fakir miskin, kaum kerabat, pembebasan hamba, kepentingan agama Islam, musafir dan para tetamu. Tidak salah bagi pengurus tanah tersebut makan hasilnya secara berpatutan dan memberi makan tanpa tujuan menyimpan harta.

(Riwayat Bukhari 2586 dan Muslim 1632)

Selasa, 28 November 2017

TAQWA

TAQWA

Oleh : Ustaz Danial Farhan bin Dolmat
           Felo Muda Dakwah di Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM)

Dalam siri yang lalu, penulis telah membicarakan mengenai maqam Uzlah. Menerusi artikel kali ini, penulis ingin menyambung perbincangan mengenai maqam Taqwa pula. Signifikan hubungan di antara dua maqam ini membayangkan bahawa Uzlah mendidik jiwa seorang salik untuk membentuk ketaqwaan kepada Allah SWT. Taqwa merupakan elemen penting dalam kehidupan rohani seorang salik kerana taqwa merupakan kunci kejayaan dunia dan akhirat.


Taqwa di dalam al-Quran dan as-Sunnah

Allah SWT berfirman di dalam Surah al-Hujurat ayat 13, mafhumnya:

"Sesungguhnya orang yang paling mulia dalam kalangan kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa."

Firman Allah SWT lagi menerusi Surah Ali Imran ayat 102, mafhumnya:

"Wahai mereka yang beriman, bertaqwalah kepada Allah dengan taqwa yang hakiki dan janganlah kamu mati kecuali dalam keadaan Islam."

   Imam al-Tirmizi meriwayatkan daripada Sayyidina Jundab bin Junadah dan Sayyidina Muaz bin Jabal r.a. bahawa Rasulullah SAW berpesan kepada mereka berdua dengan sabdanya,

"Bertaqwalah kepada Allah di mana sahaja kamu berada. Iringilah kejahatan dengan kebaikan, nescaya kebaikan itu akan menghapuskan kejahatan tersebut dan berakhlaklah terhadap manusia dengan akhlak yang baik."

   Imam Ibnu al-Dhurais meriwayatkan daripada Sayyidina Abu Sa'id al-Khudri r.a., beliau berkata: Seorang lelaki datang bertemu Nabi SAW lalu berkata, "Nabi Allah! Tolong berikan wasiat kepada saya." Lantas Rasulullah SAW bersabda,

"Hendaklah kamu tetap bertaqwa kepada Allah kerana taqwa itu merupakan himpunan setiap kebaikan. Tetaplah juga dalam berjihad kerana jihad merupakan kependetaan seorang muslim dan hendaklah juga kamu sentiasa berzikir mengingati Allah kerana zikir itu cahaya untukmu."


Definisi Taqwa

   Taqwa dari sudut bahasa bermaksud kawalan. Imam al-Qusyairi menyatakan: "Dasar taqwa ialah mengawal diri daripada melakukan syirik. Setelah itu, mengawal diri daripada melakukan maksiat dan kejahatan. Kemudian, mengawal diri daripada terjatuh ke dalam perkara syubhat dan akhir sekali hasil taqwa ialah meninggalkan sikap berlebih-lebihan dalam perkara harus."

   Imam Abu Ali al-Daqqaq berkata. "Tafsir firman Allah SWT :  "Bertaqwalah kepada Allah dengan taqwa yang hakiki ", ialah mentaatiNya bukan menderhakaiNya. MengingatiNya bukan melupakanNya dan mensyukuriNya bukan kufur terhadapNya."


Taqwa Menurut Ulama Sufi

   Sahl bin Abdullah berkata, "Tiada penolong selain Allah SWT. Tiada pembimbing selain Rasulullah SAW. Tiada bekalan selain taqwa dan tiada amalan tanpa kesabaran."

   Al-Kittani berkata. "Dunia dijadikan tempat menerima ujian kesusahan. Manakala akhirat pula dijadikan tempat menerima ganjaran ketaqwaan."

   Al-Jariri berkata, "Sesiapa yang tidak memperkemas hubungannya dengan Allah SWT melalui taqwa dan muroqobah, dia tidak akan memperoleh kasyaf dan musyahadah."

   An-Nasr Abazi berkata, "Taqwa ialah mengawal hati daripada terpengaruh dengan selain Allah SWT."

   Beliau berkata lagi, "Siapa yang melazimi taqwa, pasti dia tidak sabar untuk berpisah dengan dunia kerana Allah SWT berfirman, mafhumnya : "Negeri Akhirat itu lebih baik buat orang-orang yang bertaqwa", Oleh itu, adakah kamu tidak memikirkannya?"

   Sebahagian ulama' sufi berkata, "Siapa yang berjaya merealisasikan taqwa, Allah SWT akan memudahkannya untuk berpaling daripada godaan dunia."

   Abu Bakar Muhammad al-Ruzbari berkata; "Taqwa ialah menjauhkan diri daripada perkara-perkara yang menjauhkan kamu daripada Allah SWT."

   Ibnu 'Ato' berkata, "Taqwa itu ada zahir dan batinnya. Zahir taqwa ialah memelihara hukum-hakam syarak. Manakala batinnya ialah niat dan keikhlasan."

   Dikatakan, "Ada tiga perkara yang boleh menjadi dalil ketaqwaan seseorang iaitu bertawakal pada perkara yang dia tidak dapat, redha terhadap apa yang dia dapat dan bersabar terhadap perkara yang dia terlepas."

   Abu al-Husain al-Zanjani berkata. "Sesiapa yang memiliki taqwa sebagai modal, pasti lidah menjadi kelu untuk mengungkapkan keuntungan perniagaannya."

   Amirul Mukminin Sayyiduna Ali Karamallahu wajhahu berkata, "Penghulu manusia di dunia ini ialah orang yang pemurah. Manakala penghulu mereka di akhirat nanti ialah golongan yang bertaqwa."

Riwayat as-Sufi

Suatu hari, Imam al-Junaid duduk bersama-sama Ruwaim, al-Jariri dan Ibnu 'Ato'. Lalu al-Junaid pun berkata, "Hanya dengan kepasrahan hakiki, seseorang itu boleh terlepas."

Lantas Ruwaim pula menyahut, "Hanya dengan ketaqwaan hakiki, seseorang itu boleh terlepas."

Al-Jariri pula menyampuk dengan berkata, "Hanya dengan memelihara janji, seseorang itu boleh terlepas."

Akhirnya Ibnu 'Ato' pula menyambung, "Hanya dengan perasaan malu yang hakiki, seseorang itu boleh terlepas."

Subhanallah! Lihat bagaimana para ulama' sufi ini duduk sambil berbicara soal rohani. Moga kita diizinkan Allah SWT untuk mengikut jejak langkah mereka.

Hubungi Kami


LEMBAGA MASJID NEGERI SEMBILAN


No 23-1, Jln Taman Komersial Senawang 8,
Taman Komersial Senawang,
70450 Senawang,
Negeri Sembilan Darul Khusus.

No. Tel : 06-6798681/82
No. Fax : 06-6787278 (PWNS)

Ahad, 26 November 2017

Masjid Pusat Modal Insan Belia

Masjid Pusat Modal Insan Belia

Oleh : Ustaz Anwar bin Muttaqin
           Pemangku Pengurus
           Lembaga Masjid Negeri Sembilan

   Belia didefinisikan kepada seseorang yang berumur dalam lingkungan 15 tahun hingga 40 tahun. Lingkungan umur begini menjadikan belia ini generasi termahal dan paling berharga kerana golongan ini adalah pewaris masa depan sesebuah negara dan kepimpinan umat. Seorang tokoh ulama’ kontemporari, Prof. Dr. Yusuf Al-Qardhawi menegaskan bahawa:

“Perlu segera disedari, bahawa pemuda kebangkitan Islam adalah generasi termahal dan paling berharga yang terdapat di negeri-negeri kaum Muslimin. Sesungguhnya yang termahal di Mesir bukanlah kapas, minyak dan Terusan Suez, tetapi para pemudanya.”

“Belia mukminin yang berpandukan jalan yang lurus merupakan potensi termahal dalam masyarakat. Mereka adalah kekayaan masyarakat dan tabungan masa depan ummah yang sebenarnya. Oleh kerana itu, sewajarnya kita memberi perhatian yang besar kepadanya. Jika anda meninggalkan mereka, maka dengan siapa lagi mereka mahu membangun dan memajukan ummah.”

Rasulullah SAW pernah bersabda, mafhumnya:

“Sesungguhnya Allah sangat kagum kepada pemuda yang tidak ada padanya kelakuan pelik dan menyeleweng.” (HR Ahmad)

   Sejarah telah membuktikan pada zaman Nabi Muhammad SAW telah berlaku kebangkitan kaum muda seperti Saidina Ali bin Abi Talib, Saidina Uthman bin Affan, Saidina Abdullah bin Mas’ud, Mus’ab bin Umair dan lain-lain lagi. Mereka memainkan peranan penting dalam mengembangkan dakwah Islam. Nabi Muhammad sendiri memainkan peranan utama mendidik para sahabatnya supaya beriltizam atau beristiqomah, membentuk akhlak mulia serta menghindari sebarang penyelewengan.


Sejarah juga telah merakamkan tentang kegigihan tentera Islam sejak kerajaan Umaiyyah, Abbasiyyah dan kepimpinan awal kerajaan Uthmaniah Turki untuk menawan Kota Konstantinopel (Istanbul) tetapi gagal. Namun satu ketika seorang anak muda iaitu Sultan Muhammad Al-Fateh, Sultan Kerajaan Uthmaniah Turki bangkit menghidupkan cahaya dakwah. Dalam usia 21 tahun baginda berjaya menawan semula Kota Konstantinopel daripada Rom. Antara penyebab kejayaan tersebut ialah tertanamnya kekuatan bijak, pintar dan kreatif. Menurut sejarah juga, baginda tidak pernah meninggalkan solat fardhu, solat sunat rawatib dan solat tahajjud sejak akil baligh lagi. Demikianlah contoh kepimpinan pendakwah negara di mana kekuatan rohani tidak dapat dipisahkan dalam diri mereka sebagai pemimpin.

Masjid adalah institusi yang mempunyai peranan besar dalam sejarah perkembangan Islam dan umatnya. Ia menjadi pusat pembangunan umat Islam sehingga terbinanya sebuah tamadun yang hebat dan disegani. Fungsi masjid tidak sekadar menjadi tempat sembahyang semata-mata, sebaliknya ia turut menjadi pusat ilmu yang mengeluarkan manusia daripada kejahilan dan kelalaian. Ia juga adalah pusat penyatuan ummah dan masyarakat yang bernaung di bawah lembayung Quran dan Sunnah.

Allah SWT berfirman dalam Surah Al-Kahf ayat 13 dan 14 yang bermaksud:

“Kami ceritakan kepadamu hal mereka dengan benar; sesungguhnya mereka itu pemuda yang beriman kepada Tuhan mereka, dan Kami tambahi mereka dengan hidayah petunjuk dan Kami kuatkan hati mereka, semasa mereka bangun lalu berkata : Tuhan kami ialah Tuhan yang menciptakan dan mentadbir langit dan bumi, kami tidak akan menyembah Tuhan yang lain selain-Nya; jika tidak, bermakna kami memperkatakan sesuatu yang jauh dari kebenaran.”

   Merujuk kepada ayat di atas ini menunjukkan betapa tingginya kedudukan belia dalam pandangan Islam. Beruntunglah para belia yang dalam meniti zaman belianya yang cenderung kepada agama dan mentaati perintah Allah SWT, di samping menjauhi larangan-larangannya. Belia seperti inilah yang akan menyelamatkan negara daripada akibat malapetaka yang ditimpakan Allah SWT kepada masyarakat yang mungkar. Ini kerana malapetaka itu akan terhindar jika ada orang-orang yang berzikir di dalamnya termasuk para belia.

   Sejak kebelakangan ini, belia-belia Islam sudah mula menampakkan potensi yang terpendam dalam diri masing-masing, sudah mula berbicara, berforum, berpidato, menjadi imam, menjadi hafiz Al-Quran, pendakwah, menyumbang khidmat bakti kepada masyarakat, menjadi pegawai tinggi dalam pelbagai sektor dan menjadi usahawan.

   Walau bagaimanapun, terdapat juga para belia yang suka melepak dan terlibat dengan dadah dan gejala-gejala sosial yang negatif. Justeru, sangat indah dan cantiknya apabila para belia masjid dapat mendekati belia-belia agak bermasalah ini kerana kepercayaan dan keyakinan harus dibina untuk melihat belia yang rosak dan berpenyakit itu akan dapat dirawat dan disembuhkan oleh para belia yang sihat dan waras, kerana hanya para belia juga yang lebih mengetahui permasalahan yang dihadapi oleh rakan-rakan belianya.

   Masjid juga diseru untuk mengutamakan kepentingan dan keinginan para belia dalam kariah masing-masing dengan harapan agar dapat merapatkan jurang antara para belia dengan pegawai-pegawai dan imam-imam masjid khususnya. Belia semalam dan hari ini adalah bakal pemimpin masa hadapan serta akan mengisi saf kepimpinan baru negara. Oleh itu, sebarang usaha dan inisiatif untuk memperkasakan lagi keperluan, kehendak, kebajikan dan hak asasi golongan realistik ini adalah sangat dialu-alukan dan perlu diberikan perhatian serius oleh semua pihak.

Rasulullah SAW bersabda yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA mafhumnya: 

"Bahawa terdapat tujuh golongan manusia yang dilindungi Allah SWT pada hari Akhirat iaitu" :


Isnin, 20 November 2017

Asas Takmir

Asas Takmir

Oleh : Dr Shuhadak Mahmud
           Bekas Pengurus Lembaga Masjid Negeri Sembilan

"Hanyasanya yang layak memakmurkan (menghidupkan) masjid-masjid Allah itu ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat serta mendirikan solat dan menunaikan zakat dan tidak takut melainkan kepada Allah. (Dengan adanya sifat-sifat tersebut) Maka adalah diharapkan mereka menjadi dari golongan yang mendapat petunjuk."

(Surah At-Taubah : 18)

   
   Pengimarahan masjid mengandungi dua aspek iaitu melazimi dan membinanya. Seseorang hanya dikatakan mengimarahkan masjid sekiranya ia kerap berulang-alik ke masjid. Dr. Wahbah al-Zuhaily menerusi Tafsir al-Munir menyebutkan bahawa imarah dari sudut bahasa ialah melazimi masjid, berada di dalamnya, beribadah, membina dan memperelokkan binaannya. Ia merangkumi dua kategori iaitu hissi dan ma'nawi. Imarah hissi (yang boleh dilihat dan diukur dengan pancaindera) seperti memperelokkan bangunannya, memasang karpet, menyalakan lampu dan membersihkannya. Manakala imarah ma'nawi pula bermaksud solat, iktikaf, ziarah dan zikir. Bahkan imarah paling agung ialah pengajian ilmu malahan inilah konsep yang paling utama seperti yang disebut oleh al-Zamakhsyari.

Muhammad Rashid Redha dalam mentafsirkan ayat di atas menegaskan bahawa orang-orang Islam yang sempurna dan berhak melakukan khidmat baik kepada masjid ialah mereka yang memiliki keimanan kepada Allah SWT, Hari Akhirat, mendirikan solat yang fardhu, mengeluarkan zakat dan mereka melakukan suruhan serta meninggalkan larangan-Nya sama ada disukai oleh orang lain atau tidak. Namun itu semua tidak menjadi perhitungan Allah. Apabila pembinaan masjid, pengimarahan, pengisian serta penghayatannya tidak berdasarkan taqwa tetapi kerana tujuan-tujuan yang menyeleweng dan terkeluar dari dasar Islam seperti kemegahan, atau mencari pengaruh maka ia akan mendatangkan perpecahan kepada umat Islam. Masjid tersebut hanyalah merupakan sebuah bangunan yang indah tersergam tetapi tidak mempunyai ruh dan semangat serta tidak akan memberikan manfaat yang sewajarnya kepada umat Islam. Ayat Al-Quran di atas telah pun menjelaskan asas pembinaan masjid dan syarat-syarat mengimarahkannya. Oleh yang demikian, adalah menjadi kewajiban kepada kita untuk memenuhi dasar-dasar dan mentaati syarat-syarat tersebut.

Ibnu Kathir pula menyebutkan bahawasanya 'imarah masjid hanya berlaku bagi mereka yang memiliki kesempurnaan dari aspek ilmu (teori) dan amal (praktikal). Di antara bentuk pengimarahan ialan membina, menghiasinya, menerangkan cahaya, beribadah dan mengadakan pengajian ilmu di dalamnya. Mengingati Allah (zikrullah) dalam masjid dan juga di tempat-tempat haruslah difahami dengan cara yang lebih luas iaitu mencakupi solat, membaca Al-Quran, azan, mengajar, mempelajari ilmu agama dan ilmu-ilmu yang mendatangkan manfaat, berdakwah dan sebagainya, di samping pengertian zikrullah secara khusus, seperti bertahlil, bertahmid dan bertasbih. Jelasnya konsep imarah yang sebenar ialah dengan mengimarahkan masjid dan surau dengan  program-program ilmiah dan ruhiyyah.


   Menurut Dr. Yusoff Al-Qardhawi, memakmurkan masjid bermaksud mendirikan solat di dalamnya, berdoa, berzikir dan menegakkan syiar-syiarnya. Takrif ini menggambarkan bahawa masjid bukan hanya tempat untuk melaksanakan ibadat, tetapi juga berperanan utama menyampaikan dakwah Islam. Aktiviti pengajian ilmu agama perlu diadakan di masjid-masjid supaya ianya sampai kepada masyarakat dengan baik. Masjid itu adalah madrasah dakwah, demikian juga ianya adalah pejabat negara Islam. Padanya diadakan mau'izah dan pengajian harian, mingguan dan ceramah berkala. Masjid berfungsi memberikan ilmu kepada yang jahil, pertolongan kepada yang fakir, memandu urusan kesihatan dan kemasyarakatan, menyebarkan berita yang penting untuk ummat, bertemu dengan diplomat asing, mengatur tentera di medan perang, juga menghantar pendakwah dan perwakilan untuk perdamaian.

Wallahua'lam.

Program Ustaz Don Siri Terakhir


Deskripsi Program :

Program Kembara Dakwah Ustaz Don Siri ke-10 (akhir) ini alhamdulillah telah berjaya dilaksanakan dengan jayanya di Masjid Dato' Klana Petra Dato' Haji Mubarak Al-Haj atau lebih dikenali sebagai Masjid Sg Landak, Ampangan.

Anggaran peserta yang hadir ke program ini dalam 200 orang, yang terdiri daripada para pelajar, para JKKK Ampangan, orang awam dan lain-lain.

Ustaz Don bersama moderator beliau, Ustaz Mohd Nushi bin Dato' Mahfodz berjaya merungkaikan persoalan "Solat dan Infaq" yang mempunyai hubung kait antara satu sama lain.

Mereka menyeru kepada semua masyarakat untuk mendirikan solat dan menginfakkan harta di jalan Allah kerana solat dapat memberi nutrisi penting kepada rohani justeru melahirkan modal insan yang mempunyai karakter yang indah dan akhlak yang terpuji. Demikian pula infak dapat membantu ekonomi umat Islam agar Islam suatu hari nanti dijunjung tinggi oleh semua pelusuk masyarakat dunia.

Gambar-Gambar Program :






















Ahad, 5 November 2017

Pengenalan Lembaga Masjid Negeri Sembilan

بسم الله الرحمن الرحيم والصلاة والسلام على رسول الله الأمين 


LEMBAGA MASJID NEGERI SEMBILAN

Ditubuhkan pada 14 Julai 2014 dengan persetujuan YAB Dato' Seri Utama Haji Mohamad bin Haji Hasan. Menteri Besar Negeri Sembilan. Objektif penubuhannya adalah sebagai satu usaha untuk mengarus perdanakan pengurusan masjid di Negeri Sembilan melalui perancangan dan pengurusan masjid yang sistematik serta bersifat professional berdasarkan falsafah, visi & misi yang ditetapkan

Lembaga Masjid Negeri Sembilan ini merupakan sebuah institusi kecil yang bercabang daripada Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) dan diletakkan di bawah Perbadanan Wakaf Negeri Sembilan (PWNS).

MISI


CARTA ORGANISASI LMNS

Hiearki LMNS terbahagi kepada Pengerusi, Pengurus, Penolong Pengurus, Eksekutif Kanan dan Eksekutif.

Secara umumnya, institusi yang berada di bawah MAINS dipengerusikan oleh YAB Dato' Seri Utama
Haji Mohamad bin Haji Hassan, Menteri Besar Negeri Sembilan.

Bermula pada tahun 2017, Ust Anwar bin Muttaqin telah dijadikan sebagai pemangku pengurus bagi LMNS kerana TG Dr Shuhadak Mahmud yang sebelumnya merupakan pengurus LMNS telah ditempatkan untuk bekerja di Puncak Alam, Selangor.

YAB Dato' Seri Utama Haji Mohamad bin Haji Hassan
Menteri Besar Negeri Sembilan

merangkap Pengerusi LMNS

Ust Anwar bin Muttaqin
Pemangku Pengurus
Lembaga Masjid Negeri Sembilan



Ust Muttaqin bin Mohd Fakiri
Penolong Pemangku Pengurus
Lembaga Masjid Negeri Sembilan


Eksekutif Kanan & Eksekutif LMNS

Ust Hazmi bin Abd Kadir
Eksekutif Kanan JG44
Masjid At Taqwa, Paroi

Ust Junaidi bin Yahya
Eksekutif Masjid JG44
Masjid Jamek An-Nur, Rembau

Ust Zaharuddin bin Mat Derus
Eksekutif Masjid JG44
Masjid Tunku Besar Tampin

Ust Muhammad Abu Dhirar Burhanuddin
Eksekutif  Masjid JG41
Masjid Dato' Abdullah Sijang, Port Dickson
Ust Hasrul Nizam bin Sidek
Eksekutif Masjid JG41
Masjid Tuanku Muhriz, Jempol



Ust Mohd Izwan bin Shuib
Eksekutif Masjid JG41
Masjid Rasah Jaya, Seremban

Ust Muhibuddin bin Abu Bakar
Eksekutif Masjid JG41
Masjid Taman Seremban Jaya

Ust Ahmad Naim bin Azlan
Eksekutif Masjid JG41
Masjid Hussain, Seremban 2

Ust Nawawi bin Husin
Eksekutif Masjid JG41
Masjid Tuanku Jaafar, Seremban

Ust Mohd Shukri bin Samsudin
Eksekutif Masjid JG41
Kompleks Islam Haji Kahar, Rantau

Ust Syammil Izuddin bin Mohamed Yusoff
Eksekutif Masjid JG41
Masjid Diraja Tuanku Munawir Seri Menanti, Kuala Pilah

Ust Syed Mazlan bin Syed Azizan
Eksekutif Masjid JG41
Masjid Kuarters KLIA, Nilai


Ust Zainal bin Samdin
Eksekutif Masjid JG41
Masjid Kariah Bandar Springhill, Port Dickson


Hubungi kami :

LEMBAGA MASJID NEGERI SEMBILAN

No 23-1, Jln Taman Komersial Senawang 8,
Taman Komersial Senawang,
70450 Senawang,
Negeri Sembilan Darul Khusus.

No. Tel : 06-6798681/82
No. Fax : 06-6787278 (PWNS)



Lawatan Kerja Masjid Model Teladan

   Tanggal 18hb Disember sehingga 20hb Disember 2017 , Lembaga Masjid Negeri Sembilan telah mengadakan lawatan kerja ke masjid-masjid terp...