Ahad, 26 November 2017

Masjid Pusat Modal Insan Belia

Masjid Pusat Modal Insan Belia

Oleh : Ustaz Anwar bin Muttaqin
           Pemangku Pengurus
           Lembaga Masjid Negeri Sembilan

   Belia didefinisikan kepada seseorang yang berumur dalam lingkungan 15 tahun hingga 40 tahun. Lingkungan umur begini menjadikan belia ini generasi termahal dan paling berharga kerana golongan ini adalah pewaris masa depan sesebuah negara dan kepimpinan umat. Seorang tokoh ulama’ kontemporari, Prof. Dr. Yusuf Al-Qardhawi menegaskan bahawa:

“Perlu segera disedari, bahawa pemuda kebangkitan Islam adalah generasi termahal dan paling berharga yang terdapat di negeri-negeri kaum Muslimin. Sesungguhnya yang termahal di Mesir bukanlah kapas, minyak dan Terusan Suez, tetapi para pemudanya.”

“Belia mukminin yang berpandukan jalan yang lurus merupakan potensi termahal dalam masyarakat. Mereka adalah kekayaan masyarakat dan tabungan masa depan ummah yang sebenarnya. Oleh kerana itu, sewajarnya kita memberi perhatian yang besar kepadanya. Jika anda meninggalkan mereka, maka dengan siapa lagi mereka mahu membangun dan memajukan ummah.”

Rasulullah SAW pernah bersabda, mafhumnya:

“Sesungguhnya Allah sangat kagum kepada pemuda yang tidak ada padanya kelakuan pelik dan menyeleweng.” (HR Ahmad)

   Sejarah telah membuktikan pada zaman Nabi Muhammad SAW telah berlaku kebangkitan kaum muda seperti Saidina Ali bin Abi Talib, Saidina Uthman bin Affan, Saidina Abdullah bin Mas’ud, Mus’ab bin Umair dan lain-lain lagi. Mereka memainkan peranan penting dalam mengembangkan dakwah Islam. Nabi Muhammad sendiri memainkan peranan utama mendidik para sahabatnya supaya beriltizam atau beristiqomah, membentuk akhlak mulia serta menghindari sebarang penyelewengan.


Sejarah juga telah merakamkan tentang kegigihan tentera Islam sejak kerajaan Umaiyyah, Abbasiyyah dan kepimpinan awal kerajaan Uthmaniah Turki untuk menawan Kota Konstantinopel (Istanbul) tetapi gagal. Namun satu ketika seorang anak muda iaitu Sultan Muhammad Al-Fateh, Sultan Kerajaan Uthmaniah Turki bangkit menghidupkan cahaya dakwah. Dalam usia 21 tahun baginda berjaya menawan semula Kota Konstantinopel daripada Rom. Antara penyebab kejayaan tersebut ialah tertanamnya kekuatan bijak, pintar dan kreatif. Menurut sejarah juga, baginda tidak pernah meninggalkan solat fardhu, solat sunat rawatib dan solat tahajjud sejak akil baligh lagi. Demikianlah contoh kepimpinan pendakwah negara di mana kekuatan rohani tidak dapat dipisahkan dalam diri mereka sebagai pemimpin.

Masjid adalah institusi yang mempunyai peranan besar dalam sejarah perkembangan Islam dan umatnya. Ia menjadi pusat pembangunan umat Islam sehingga terbinanya sebuah tamadun yang hebat dan disegani. Fungsi masjid tidak sekadar menjadi tempat sembahyang semata-mata, sebaliknya ia turut menjadi pusat ilmu yang mengeluarkan manusia daripada kejahilan dan kelalaian. Ia juga adalah pusat penyatuan ummah dan masyarakat yang bernaung di bawah lembayung Quran dan Sunnah.

Allah SWT berfirman dalam Surah Al-Kahf ayat 13 dan 14 yang bermaksud:

“Kami ceritakan kepadamu hal mereka dengan benar; sesungguhnya mereka itu pemuda yang beriman kepada Tuhan mereka, dan Kami tambahi mereka dengan hidayah petunjuk dan Kami kuatkan hati mereka, semasa mereka bangun lalu berkata : Tuhan kami ialah Tuhan yang menciptakan dan mentadbir langit dan bumi, kami tidak akan menyembah Tuhan yang lain selain-Nya; jika tidak, bermakna kami memperkatakan sesuatu yang jauh dari kebenaran.”

   Merujuk kepada ayat di atas ini menunjukkan betapa tingginya kedudukan belia dalam pandangan Islam. Beruntunglah para belia yang dalam meniti zaman belianya yang cenderung kepada agama dan mentaati perintah Allah SWT, di samping menjauhi larangan-larangannya. Belia seperti inilah yang akan menyelamatkan negara daripada akibat malapetaka yang ditimpakan Allah SWT kepada masyarakat yang mungkar. Ini kerana malapetaka itu akan terhindar jika ada orang-orang yang berzikir di dalamnya termasuk para belia.

   Sejak kebelakangan ini, belia-belia Islam sudah mula menampakkan potensi yang terpendam dalam diri masing-masing, sudah mula berbicara, berforum, berpidato, menjadi imam, menjadi hafiz Al-Quran, pendakwah, menyumbang khidmat bakti kepada masyarakat, menjadi pegawai tinggi dalam pelbagai sektor dan menjadi usahawan.

   Walau bagaimanapun, terdapat juga para belia yang suka melepak dan terlibat dengan dadah dan gejala-gejala sosial yang negatif. Justeru, sangat indah dan cantiknya apabila para belia masjid dapat mendekati belia-belia agak bermasalah ini kerana kepercayaan dan keyakinan harus dibina untuk melihat belia yang rosak dan berpenyakit itu akan dapat dirawat dan disembuhkan oleh para belia yang sihat dan waras, kerana hanya para belia juga yang lebih mengetahui permasalahan yang dihadapi oleh rakan-rakan belianya.

   Masjid juga diseru untuk mengutamakan kepentingan dan keinginan para belia dalam kariah masing-masing dengan harapan agar dapat merapatkan jurang antara para belia dengan pegawai-pegawai dan imam-imam masjid khususnya. Belia semalam dan hari ini adalah bakal pemimpin masa hadapan serta akan mengisi saf kepimpinan baru negara. Oleh itu, sebarang usaha dan inisiatif untuk memperkasakan lagi keperluan, kehendak, kebajikan dan hak asasi golongan realistik ini adalah sangat dialu-alukan dan perlu diberikan perhatian serius oleh semua pihak.

Rasulullah SAW bersabda yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA mafhumnya: 

"Bahawa terdapat tujuh golongan manusia yang dilindungi Allah SWT pada hari Akhirat iaitu" :


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Lawatan Kerja Masjid Model Teladan

   Tanggal 18hb Disember sehingga 20hb Disember 2017 , Lembaga Masjid Negeri Sembilan telah mengadakan lawatan kerja ke masjid-masjid terp...