Asas Takmir
Oleh : Dr Shuhadak Mahmud
Bekas Pengurus Lembaga Masjid Negeri Sembilan
"Hanyasanya yang layak memakmurkan (menghidupkan) masjid-masjid Allah itu ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat serta mendirikan solat dan menunaikan zakat dan tidak takut melainkan kepada Allah. (Dengan adanya sifat-sifat tersebut) Maka adalah diharapkan mereka menjadi dari golongan yang mendapat petunjuk."
(Surah At-Taubah : 18)
Pengimarahan masjid mengandungi dua aspek iaitu melazimi dan membinanya. Seseorang hanya dikatakan mengimarahkan masjid sekiranya ia kerap berulang-alik ke masjid. Dr. Wahbah al-Zuhaily menerusi Tafsir al-Munir menyebutkan bahawa imarah dari sudut bahasa ialah melazimi masjid, berada di dalamnya, beribadah, membina dan memperelokkan binaannya. Ia merangkumi dua kategori iaitu hissi dan ma'nawi. Imarah hissi (yang boleh dilihat dan diukur dengan pancaindera) seperti memperelokkan bangunannya, memasang karpet, menyalakan lampu dan membersihkannya. Manakala imarah ma'nawi pula bermaksud solat, iktikaf, ziarah dan zikir. Bahkan imarah paling agung ialah pengajian ilmu malahan inilah konsep yang paling utama seperti yang disebut oleh al-Zamakhsyari.
Muhammad Rashid Redha dalam mentafsirkan ayat di atas menegaskan bahawa orang-orang Islam yang sempurna dan berhak melakukan khidmat baik kepada masjid ialah mereka yang memiliki keimanan kepada Allah SWT, Hari Akhirat, mendirikan solat yang fardhu, mengeluarkan zakat dan mereka melakukan suruhan serta meninggalkan larangan-Nya sama ada disukai oleh orang lain atau tidak. Namun itu semua tidak menjadi perhitungan Allah. Apabila pembinaan masjid, pengimarahan, pengisian serta penghayatannya tidak berdasarkan taqwa tetapi kerana tujuan-tujuan yang menyeleweng dan terkeluar dari dasar Islam seperti kemegahan, atau mencari pengaruh maka ia akan mendatangkan perpecahan kepada umat Islam. Masjid tersebut hanyalah merupakan sebuah bangunan yang indah tersergam tetapi tidak mempunyai ruh dan semangat serta tidak akan memberikan manfaat yang sewajarnya kepada umat Islam. Ayat Al-Quran di atas telah pun menjelaskan asas pembinaan masjid dan syarat-syarat mengimarahkannya. Oleh yang demikian, adalah menjadi kewajiban kepada kita untuk memenuhi dasar-dasar dan mentaati syarat-syarat tersebut.
Ibnu Kathir pula menyebutkan bahawasanya 'imarah masjid hanya berlaku bagi mereka yang memiliki kesempurnaan dari aspek ilmu (teori) dan amal (praktikal). Di antara bentuk pengimarahan ialan membina, menghiasinya, menerangkan cahaya, beribadah dan mengadakan pengajian ilmu di dalamnya. Mengingati Allah (zikrullah) dalam masjid dan juga di tempat-tempat haruslah difahami dengan cara yang lebih luas iaitu mencakupi solat, membaca Al-Quran, azan, mengajar, mempelajari ilmu agama dan ilmu-ilmu yang mendatangkan manfaat, berdakwah dan sebagainya, di samping pengertian zikrullah secara khusus, seperti bertahlil, bertahmid dan bertasbih. Jelasnya konsep imarah yang sebenar ialah dengan mengimarahkan masjid dan surau dengan program-program ilmiah dan ruhiyyah.
Menurut Dr. Yusoff Al-Qardhawi, memakmurkan masjid bermaksud mendirikan solat di dalamnya, berdoa, berzikir dan menegakkan syiar-syiarnya. Takrif ini menggambarkan bahawa masjid bukan hanya tempat untuk melaksanakan ibadat, tetapi juga berperanan utama menyampaikan dakwah Islam. Aktiviti pengajian ilmu agama perlu diadakan di masjid-masjid supaya ianya sampai kepada masyarakat dengan baik. Masjid itu adalah madrasah dakwah, demikian juga ianya adalah pejabat negara Islam. Padanya diadakan mau'izah dan pengajian harian, mingguan dan ceramah berkala. Masjid berfungsi memberikan ilmu kepada yang jahil, pertolongan kepada yang fakir, memandu urusan kesihatan dan kemasyarakatan, menyebarkan berita yang penting untuk ummat, bertemu dengan diplomat asing, mengatur tentera di medan perang, juga menghantar pendakwah dan perwakilan untuk perdamaian.
Wallahua'lam.
Ibnu Kathir pula menyebutkan bahawasanya 'imarah masjid hanya berlaku bagi mereka yang memiliki kesempurnaan dari aspek ilmu (teori) dan amal (praktikal). Di antara bentuk pengimarahan ialan membina, menghiasinya, menerangkan cahaya, beribadah dan mengadakan pengajian ilmu di dalamnya. Mengingati Allah (zikrullah) dalam masjid dan juga di tempat-tempat haruslah difahami dengan cara yang lebih luas iaitu mencakupi solat, membaca Al-Quran, azan, mengajar, mempelajari ilmu agama dan ilmu-ilmu yang mendatangkan manfaat, berdakwah dan sebagainya, di samping pengertian zikrullah secara khusus, seperti bertahlil, bertahmid dan bertasbih. Jelasnya konsep imarah yang sebenar ialah dengan mengimarahkan masjid dan surau dengan program-program ilmiah dan ruhiyyah.

Wallahua'lam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan